Thursday 7 November 2013

Mak owh Mak..


"Rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah :" Wahai, Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku di waktu aku kecil" (Al- Isra': Ayat 24)


Mak cerita yang Mas dilahirkan di rumah dengan khidmat bidan kampung.. Time tu mana mampu nak pergi hospital. So, bersalin kat rumah je la.

Mas dilahirkan pada tengah malam, dlm pukul 1-2 pagi camtu. Saat Mas keluar dari perut mak, bidan tak sampai lagi.. tak sabar-sabar nak tengok dunia.. hihihi

Disebabkan bidan tak sampai lagi, arwah opah Siti Tijah yang jadi bidan terjun menyambut Mas ke dunia. Terima kasih opah!

Ingat lagi mak citer.. Abah gi panggil bidan tu naik basikal tua klu tak silap, patut la lambat sampai. Masa tu, itulah transport yang mak dan abah ada. 

Waktu kecik dalam umur 3-5 tahun.. Arwah abah bawak jalan-jalan naik basikal tua tapi ada raga besar kat belakang. Kakak Mas duduk kat palang depan & Mas duduk dalam raga. Masa tu best je duduk kat dalam tu.. hihihi.

Abah dah takde, kini kami hanya ada Mak sorang je.

Mak,
Terima kasih di atas kasih sayang dan pengorbanan yang mak curahkan kepada kami adik beradik. Maafkanlah segala ketelanjuran kata atau perbuatan yang kami lakukan samada sedar atau pun tidak.

Mak,
Kasih sayang dan pengorbanan yang mak berikan kepada kami, tiada galang gantinya dan tak dapat dinilaikan dengan wang ringgit maupun harta. Hanya Allah yang dapat membalasnya.

Mak,
Kami sentiasa ingat akan kesusahan mak dan abah membesarkan kami. Mak kerja kilang, keluar subuh, balik Maghrib & buat kiuh untuk jualan bagi membantu abah menyara persekolahan kami adik beradik. Mak mahu kami belajar seperti anak-anak orang lain. Sanggup hantar kelas tuisyen untuk memastikan kami berjaya di dalam pelajaran dengan cemerlang.

Mak,
Maafkan kami kerana kami kurang berjaya seperti yang mak harapkan. Mungkin belum rezeki kami lagi pada ketika itu.

Mak,
Dihari perkahwinan kami, maklah orang yang paling gembira dan excited merancang agar majlis perkahwinan kami adalah yang terbaik dan meriah. Tak cukup tidur menyediakan segala kelengkapan untuk menyempurnakan majlis bersejarah untuk kami.

Mak,
Apabila kami berjaya, maklah orang yang paling gembira. Mas ingat lagi, masa bawak mak tengok rumah baru kami.. Mak menangis kegembiraan tengok rumah kami sambil mengucapkan syukur kepadaNya. Semua ini adalah berkat doa mak dengan izinNya jua.

Mak,
Apabila musibah menimpa, maklah orang pertama yang mengalirkan air mata, susah hati, tak dapat lelapkan mata memikirkannya.

Mak,
Kami risau mak tinggal di kampung berseorangan. Tapi kami ikutkan kata mak jika itu yang membahagiakan mak. Kami tahu, rumah tersebut banyak tersimpan kenangan mak bersama arwah abah. Kami tahu mak sunyi dan rindukan arwah abah. Tiap kali terkenangkan abah, kita pasti menangis bersama.

Mak,
Kami semua cuba buat yang terbaik untuk mak. Walaupun kadang kala ada salah faham yang berlaku, kami tau kadang-kadang mak sedih, kecewa & kecil hati dengan kami 6 beradik, tetapi sesungguhnya kami tidak berniat untuk lukakan hati mak.

Mak,
Kami sentiasa dahagakan kasih sayang, belai manja, gelak-tawa dan doa dari mak. Doa mak sentiasa kami harapkan setiap masa dan ketika. Tanpa doa mak, siapalah kami ini.

Mak,
Terima kasih kerana telah melahirkan kami, membesarkan kami, mendidik kami, memarahi kami, merotan kami, meleteri kami, kerana semua itulah menjadikan kami seperti sekarang. Alhamdulillah.

Kami sayang mak!

No comments:

Post a Comment